KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini giat dijalankan bagi mengesan empat mangsa yang hilang di sungai dalam tiga kejadian berasingan, di Lundu dan Julau.

Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii, berkata di Lundu pihaknya sedang melaksanakan pencarian seorang lelaki yang hilang di Sungai Batang Kayan, malam tadi.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan kejadian itu daripada petugas Balai Polis Lundu pada jam 2.37 pagi tadi.

“Berdasarkan maklumat dari beberapa rakannya, mangsa yang dikenalpasti sebagai Mohamad Norrahim Hipni berusia lingkungan 20-an tiba-tiba terjun ke sungai di pengkalan Haji Mahyan, Lundu.

“Sejurus kejadian, penduduk kampung bersama keluarga mangsa berusaha mencari di lokasi namun mangsa gagal ditemui,” katanya.

Berikutan itu katanya, bomba bersama polis serta penduduk kampung melakukan pencarian di permukaan sekitar lokasi mangsa dikatakan terjun.

Sementara itu di Julau, gerakan SAR diteruskan pada hari kedua untuk mengesan dua beranak yang masih hilang dalam tragedi bot karam di Nanga Ensiring, Sungai Entabai.

Dalam kejadian pada jam 7 malam Khamis lalu, perahu yang dinaiki empat sekeluarga karam kira-kira 50 meter dari jeti rumah panjang Nanga Ensiring.

Seorang berjaya menyelamat diri, manakala seorang ditemui lemas kira-kira jam 12.30 tengah hari semalam dan dua lagi iaitu Ebiline Linty Kaya, 23 dan kanak-kanak lelaki, Kelvin Sama Markus, 6, belum ditemui.

Dalam kejadian berasingan di Julau, Rabu lalu, seorang lelaki warga emas Anjan Nyua, 66, dilaporkan hilang di Nanga Sayong, Sungai Entabai.

Ling Hii berkata, berikutan lokasi kejadian di Nanga Ensiring dan Nanga Sayong berdekatan dan di sungai yang sama, operasi SAR dijalankan secara serentak.

“Bomba bersama polis serta penduduk kampung menjalankan pencarian di permukaan sepanjang Sungai Entabai untuk mengesan tiga mangsa dalam dua kejadian berasingan itu,” katanya – berita harian