MASJID TANAH: Sebanyak 40 motosikal, termasuk model Yamaha Y15ZR bakal dimiliki pengunjung dalam cabutan bertuah sempena Minggu Permotoran Malaysia 2018 (MBW 2018) pada 23 hingga 25 Mac ini.

Presiden Gabungan Persatuan Permotoran Malaysia (GPMOTO), Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata hadiah istimewa itu antara tarikan sepanjang pameran di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) di Serdang, Selangor, yang mensasarkan lebih 100,000 peserta dari seluruh negara.

Malah, katanya, pameran permotoran terbesar yang julung kali diadakan itu sudah mendapat dua permohonan rasmi dari Thailand dan Singapura, menyatakan hasrat untuk turut serta.

“Majlis Pra Pelancaran MBW 2018 bagi Zon Tengah dan Selatan ini dianjurkan bagi menaikkan lagi semangat peserta, sekali gus menunjukkan semangat setia kawan yang tinggi.

“Walaupun sasaran awal membabitkan penyertaan 100 peserta untuk hari ini, kita berjaya mengumpulkan lebih 500 (peserta) bagi pelbagai kategori motosikal dari Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Pra Pelancaran MBW 2018 Zon Tengah dan Selatan di kediamannya di Kampung Pulau di sini, hari ini.

MBW 2018 bakal menghimpunkan penunggang motosikal pelbagai kategori dan jenama iaitu Superbike, Easy Rider, kapcai, klasik, Vespa dan Lady Bikes.

Malah, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar turut berkenan mempamerkan koleksi motosikal berkuasa tinggi Harley-Davidson milik baginda pada program jambori permotoran terbesar itu.

Sultan Johor sememangnya mahir mengendalikan motosikal berkuasa tinggi, malah baginda pernah beberapa kali menunggang Harley-Davidson bercorak harimau dalam siri jelajah Kembara Mahkota Johor (KMJ).

Seorang peserta warga emas, Mohd Ismail Ali, 77, berkata inilah masanya untuk peminat dunia motosikal tanah air berkumpul dalam program jambori terbesar yang pernah diadakan di negara ini.

“Sepanjang lebih 50 tahun berkecimpung dalam dunia motosikal, belum pernah sebuah jambori besar diadakan dengan anggaran penyertaan lebih 100,000 peserta.

“Tidak kisah motosikal kecil mahupun berkuasa besar, marilah memeriahkan MBW 2018,” katanya yang turut dikenali sebagai Popeye.

43 dibaca