KUALA LUMPUR: Seramai 411 pelajar sekolah menengah positif dadah dalam ujian saringan air kencing yang dijalankan pada Januari dan Februari lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, berkata ujian berkenaan dijalankan dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

“Kita lakukan ujian saringan air kencing terhadap individu berisiko dalam kalangan 2.18 juta pelajar sekolah menengah di seluruh negara.

“Pelajar yang didapati positif dadah akan dihantar untuk menyertai program selama tiga bulan bersama AADK.

“Selepas itu, kita adakan pemeriksaan susulan dan jika masih positif dadah, individu terbabit akan berada di bawah jagaan AADK bagi mengikuti program pemuliharaan yang lebih panjang,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) di Dewan Rakyat, hari ini, mengenai usaha kementerian memerangi dadah.

Menjawab soalan tambahan Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) berhubung kegagalan pelbagai inisiatif kerajaan memerangi penularan dadah, Sin Woon berkata, kenyataan itu tidak tepat.

Katanya, pemeriksaan mengejut terhadap pelajar sekolah menengah dan individu berisiko dalam penyalahgunaan dadah mendapati situasi itu masih terkawal.

“Peningkatan keputusan positif dalam ujian saringan air kencing menunjukkan pelajar yang terbabit dalam kes seperti ini berada di peringkat untuk mencuba dadah dan mereka belum menjadi penagih.

“Oleh itu, kita perlukan sokongan semua pihak dalam menggalas tanggungjawab memerangi penularan najis dadah supaya usaha ini dilaksana secara lebih menyeluruh dan tuntas.

“Kementerian hanya boleh melaksanakan usaha dalam pagar sekolah, namun pelajar perlu bimbingan dan campur tangan lain sebaik mereka melangkah keluar,” katanya.

Menyentuh prosedur buang sekolah, Sin Woon berkata, hukuman terakhir itu hanya dilaksana selepas pelajar ponteng secara berterusan melebihi 30 hari atau berkala melebihi 60 hari dalam setahun.

Bagaimanapun, katanya, penjaga atau ibu bapa boleh memohon semula untuk pelajar berkenaan didaftarkan kembali ke sekolah.

“Permohonan daftar semula selepas dibuang sekolah mesti diluluskan kerana hukuman ini adalah hanya sebagai pendekatan mendidik,” katanya – berita harian