TAIPING – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Cawangan Larut, Matang dan Selama (LMS) memberi jaminan bekalan bahan api petrol dan diesel mencukupi di keseluruhan 45 stesen minyak menjelang 1 Januari 2019.

Ketuanya, Mohamad Kamarol Mat Nor berkata, berdasarkan pemeriksaan dan pemantauan KPDNHEP ke atas stesen minyak di sekitar LMS sejak 26 Disember lalu mendapati stok masih mencukupi bagi menampung keperluan pengguna di daerah ini.

Menurutnya, petrol dan diesel merupakan Barang Kawalan Berjadual di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 iaitu sejak 21 Jun 1975.

“Setiap stesen minyak adalah pemegang lesen di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 mesti memastikan bekalan bahan api harian mencukupi untuk keperluan pengguna.

“Sebagai pemegang lesen, stesen minyak tidak dibenarkan menutup operasinya dan juga pam tanpa kelulusan daripada KPDNHEP,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Mohamad Kamarol berkata, hasil pemeriksaan dijalankan di 15 stesen minyak di daerah LMS hari ini menunjukkan jumlah bekalan diesel adalah 85,173.4 liter, RON95 (175,060 liter) dan RON97 (27,744 liter).

Katanya, jika terdapat stesen minyak yang tidak mematuhi peraturan dan syarat sebagai pemegang lesen, mereka boleh diambil tindakan.

“Pengusaha yang melanggar peraturan boleh dikenakan tindakan di bawah Peraturan 21, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974.

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda RM1 juta atau penjara selama tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Mohamad Kamarol menegaskan orang ramai boleh terus menyalurkan maklumat atau aduan berkenaan sebarang penutupan, gangguan bekalan atau keengganan mana-mana pengusaha membekalkan jualan bahan api kepada pejabat KPDNHEP di talian 05-8475806 – sinar harian