BAGAN SERAI, 18 Mei 2019: Seramai 47 anak-anak yatim dari tiga pertubuhan diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama warga kerja M K Land Holdings Berhad (MK Land) wilayah utara yang diadakan di Dewan Sebarau, Bukit Merah Laketown Resort (BMLR), di sini, hari ini.

Selain sumbangan duit raya, kanak-kanak dan remaja berusia antara enam hingga 18 tahun dari Rumah Anak Yatim Tasawwur Islam, Simpang Empat Semanggol, Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim Nur Hidayah, Bukit Gantang serta Maahad Tahfiz An-Nur Kamunting berkenaan turut menerima barangan termasuk pakaian dan keperluan harian hasil sumbangan dari pelbagai pihak.

Terpancar keceriaan pada wajah kanak-kanak terbabit sebaik dibenarkan memilih dan mengambil barangan yang diperoleh melalui sumbangan dari orang ramai menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) anjuran bersama Jabatan Komunikasi Korporat MK Land di samping menerima duit raya sumbangan BMLR serta Kelab Sukan dan Kebajikan MK Land (KSKMKLAND) .

Pengurus Resort BMLR, Ahmad Fauzi Zainal Abidin, berkata majlis tahunan itu merupakan salah satu program kebajikan pihak BMLR yang bertujuan meraikan golongan kurang bernasib baik selain dapat mengeratkan silaturahim sesama kakitangan anak syarikat MK Land wilayah utara.

Menurutnya, ibadah berpuasa Ramadan bukan sekadar memenuhi tuntutan agama dan menjadi wadah mengeratkan hubungan kemasyarakatan terutama sewaktu berbuka puasa serta ketika melakukan ibadah secara berjamaah malah membuahkan perasaan menginsafi nasib yang menimpa golongan kurang berkemampuan.

“Sepanjang Ramadan tahun ini, pihak BMLR turut mengadakan edaran bubur lambuk yang dimasak secara gotong-royong oleh kakitangan BMLR untuk diagihkan sesama kakitangan serta kepada pihak luar pada setiap hari Jumaat selain menjadi perantara mana-mana pihak yang berkeinginan menaja anak-anak yatim dan fakir miskin untuk berbuka puasa di resort ini.

“Untuk majlis ini, pendekatan secara usahasama diambil bersama jabatan dan kakitangan syarikat seinduk yang bernaung di bawah MK Land sekaligus memperlihatkan semangat kekitaan dan keprihatinan khususnya dalam membantu insan kurang bernasib baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Kerja MK Land (Utara) Meraikan Anak Yatim dan Fakir Miskin yang dihadiri kira-kira 250 tetamu.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Dato’ Sham Mat Sahat, Ketua Pegawai Operasi MK Land, Tuan Haji Kamarulzaman Abu Bakar serta Presiden KSKMKLAND, Sharul Hamkha Hamid.

Sumbangan duit raya disampaikan Haji Kamarulzaman selain disusuli dengan sumbangan peribadi berupa duit raya oleh tetamu kenamaan yang hadir kepada kanak-kanak yang diraikan.

Selain jamuan makan, majlis diisi dengan aktiviti kerohanian termasuk tazkirah ringkas, disusuli dengan solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjemaah.

Dalam perkembangan lain, Ahmad Fauzi memaklumkan pihaknya bakal mengadakan promosi penginapan dengan tawaran istimewa sempena musim perayaan yang bakal tiba.

*Untuk keterangan lanjut, sila hubungi En. Muhammad Zulsyamini di talian 019-5451421*