KANGAR: Lima buah bot musnah dalam satu kebakaran yang berlaku berhampiran perkampungan nelayan Kampung Tanah Baru di Kuala Perlis awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Firdaus Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira jam 1.44 pagi.

Menurutnya sepasukan 27 anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian dan apabila tiba di lokasi terdapat beberapa buah bot nelayan jenis kayu sedang terbakar.

“Pasukan Bomba mengambil masa satu setengah jam untuk mengawal api.

“Operasi mengawal kebakaran berjaya menghindarkan api daripada merebak ke kawasan perumahan nelayan yang terletak tidak jauh dari lokasi kebakaran,” katanya ketika dihubungi.

Firdaus berkata pihaknya terpaksa menggunakan sepenuhnya bekalan air dari jentera bomba memandangkan air laut yang surut dan tidak dapat disedut untuk membantu operasi mengawal kebakaran itu.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela dari Kodiang, Tunjang, Pauh, Kuala Perlis dan Simpang Empat.

Firdaus berkata, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan – berita harian