TELUK INTAN: Polis menahan lima lelaki kerana disyaki menunggang motosikal di bawah pengaruh alkohol di sini malam tadi.

Kesemua mereka yang berumur antara 51 hingga 61 tahun ditahan dalam Op Mabuk di Jalan Maharajalela kerana boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Kominisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar, operasi itu yang dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Hilir Perak, bermula jam 8.10 malam hingga 9 malam.

“Semua suspek dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak dan kemudian dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk mengambil sampel darah bagi tujuan menganalisis kandungan alkohol dalam darah oleh pihak Jabatan Kimia.

“Kesemua sampel darah akan dihantar ke Jabatan Kimia untuk dianalisis,” katanya di sini.

Kes disiasat dibawah Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Mohd Marzukhi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan perkara seumpama itu dan mereka yang minum minuman beralkohol dinasihatkan jangan membawa kenderaan.