ALOR SETAR: Dua wanita warga Vietnam leka menari bersama pelanggan sehingga tidak menyedari kehadiran anggota Jabatan Imigresen Kedah dalamZuhair Jamaludindi sebuah kafe di Taman Pekan Baru, Sungai Petani, tengah malam tadi.

Mereka ialah antara lima wanita warga asing berusia antara 26 dan 38 tahun yang dipercayai menjadi pelayan pelanggan (GRO), ditahan atas kesalahan imigresen dalam operasi tiga jam berakhir jam 2 pagi.

Pengarah Imigresen negeri, Zuhair Jamaludin, berkata 17 anggota penguat kuasa membuat pemeriksaan ke atas 11 pengunjung dan pekerja pelbagai warganegara di premis terbabit.

Ketika pemeriksaan, beliau berkata, tiga wanita warga Thailand cuba melarikan diri melalui pintu belakang premis tetapi gagal berikutan pihaknya sudah membuat kepungan.

“Hasil pemeriksaan awal, kami mendapati masing-masing dua wanita warga Thailand dan Vietnam melakukan kesalahan melanggar syarat pas lawatan sosial, manakala seorang lagi wanita warga Thailand tidak memiliki dokumen perjalanan sah,” katanya.

Katanya, lima wanita berkenaan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik, untuk siasatan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 – berita harian