KUALA TERENGGANU: Lima kerbau lagi milik Muhammad Syukur Khamis, 15, atau lebih dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ mati pagi ini, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan 41 ekor.

Muhammad Syukur berkata, sebanyak lima kerbau lagi yang mempunyai tanda penyakit dan berkemungkinan akan mati.

“Lima kerbau mengalami simptom hawar berdarah (HS) seperti tidak aktif, selsema dan lesu serta sedang menunggu untuk mati.

“Setakat ini kerbau kesayangan saya iaitu Tongkol, Baba, Semek dan Along masih tidak punyai tanda penyakit itu.

“Kerbau itu saya sudah alihkan 30 meter daripada kandang utama dengan harapan kerbau itu dapat diselamatkan,” katanya kepada BH di sini, hari ini.

Semalam, lebih 30 daripada 110 kerbau miliknya mati secara tiba-tiba kerana diserang HS sejak Rabu lalu.

Tinjauan NSTP ke kandang kerbau di Kampung Banggol Katong itu mendapati beberapa kerbau diternak, mati bergelimpangan di dalam kandang.

Menurutnya, dia hanya mampu berdoa supaya kerbau yang masih hidup itu dapat diselamatkan dan reda sekiranya semua kerbau ditakdirkan mati kerana HS.

Sementara itu, bapanya, Khamis Jusoh, 64, berkata, dia tak dapat menahan kesedihan apabila melihat ibu kerbau yang sedang menyusu anak mati kerana penyakit itu.

“Sedih melihat ibu kerbau yang baru melahirkan anak sebulan lalu mati pagi ini. Menitis air mata saya tengok anak kerbau terpinga-pinga melihat ibunya tidak bernyawa.

“Saya buntu memikirkan cara untuk menyelamatkan kerbau yang masih hidup dan mempunyai tanda-tanda penyakit itu,” katanya ketika ditemui di kandang kerbau miliknya, hari ini.

Khamis berkata, dia cuma berharap lebih 50 kerbau yang masih hidup itu dapat diselamatkan.

“Kalau boleh nak selamatkan kerbau yang masih hidup, harap Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Terengganu dapat berbuat sesuatu.

“Sekiranya kerbau yang ada tidak dapat diselamatkan apa boleh buat, semuanya kehendak Allah SWT dan saya perlu reda,” katanya.