WISCONSIN: Amerika Syarikat (AS) menjangkakan lima lagi negara sedang mempertimbangkan secara serius untuk menjalin hubungan diplomatik dengan Israel selepas Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain melakukannya minggu ini.

Ketua Kakitangan Rumah Putih, Mark Meadows, berkata pihaknya tidak akan mendedahkan nama negara terbabit, namun menyatakan tiga daripadanya adalah dalam kalangan negara Arab.

“Saya tidak mahu komen lebih lanjut,” katanya kepada pemberita ketika mengiringi Presiden AS, Donald Trump, untuk berkempen di Wisconsin.

Terdahulu, Trump dilihat begitu optimis mengenai kemungkinan lebih banyak negara yang bersetuju untuk menjalin hubungan dengan Israel berikutan perjanjian UAE dan Bahrain.

Antara negara yang mungkin melakukannya ialah Oman, di mana duta besarnya menghadiri upacara pemeteraian perjanjian jalinan hubungan antara Israel dengan UAE dan Bahrain di Rumah Putih Selasa lalu.

Trump turut menjangkakan bahawa Arab Saudi akan bersetuju memeterai perjanjian seumpamanya dengan Israel. – AGENSI