SHAH ALAM: Lima wanita yang dipilih sebagai Ratu Ais bagi misi ekspedisi Antartika bakal menanam kapsul masa baharu sekali gus menjadi kumpulan wanita pertama Malaysia merentasi Kutub Selatan itu.

Melalui ekspedisi pada Disember tahun depan itu, kumpulan berkenaan juga akan mengambil dan membawa pulang kapsul lama yang ditanam wirawati negara, Dr Sharifah Mazlina Syed Abdul Kadir pada 2004.

Sharifah Mazlina yang juga ketua misi Ekspedisi Wanita Berkumpulan ke Antartika (AWETA) itu berkata, beliau mengharapkan kapsul mengandungi mandat bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dapat dipertontonkan kepada umum.

“Selepas berjaya menanam kapsul itu dalam misi Antartika pada 14 tahun lalu itu, saya mahu ada rakyat Malaysia yang mengambil dan membawanya pulang sebelum atau pada tahun 2020.

“Ia perlu segera dilakukan kerana lokasi penanaman kapsul itu berada berdekatan sebuah pusat penyelidikan Amerika Syarikat dan bimbang ia akan memasuki kawasan berkenaan.

“Jika misi saya bersama lima Ratu Ais lain berjaya kelak, mereka akan menanamkan kapsul masa baharu yang mungkin mengandungi mandat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pula untuk jangka masa tertentu,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Projek AWETA, Datuk Noorizah Abdul Hamid.

Sharifah Mazlina yang juga Ekspeditor Negara, berkata pencarian Ratu Ais setakat ini sudah memasuki peringkat saringan lapan wanita terakhir sebelum dipilih secara rasmi pada Januari tahun depan.

“Mereka yang terpilih kemudian akan meneruskan latihan intensif di Norway dan New Zealand sebelum memulakan misi merentasi Antartika sejauh 550 kilometer (km) dengan suhu serendah -68 darjah Celcius.

“Ekspedisi ini tertangguh seketika kerana peserta kita tiada pengalaman berski dan berada di tempat sejuk ekstrem. Logistik Antartika mahu semua peserta bersedia sepenuhnya menerusi latihan dipantau pihak itu nanti,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut gembira atas kesudian Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menjadi Penaung AWETA dan akan mengaturkan pertemuan rasmi pertama dengan Timbalan Perdana Menteri itu mengenai perkembangan misi berkenaan.

Sementara itu, Noorizah berkata, pihaknya masih memerlukan dana bagi ekspedisi berkenaan dan antaranya menerusi larian amal, Antartica XFit Burden Run 2018 di Ara Damansara, Petaling Jaya pada 2 Disember depan.

“Kita menyasarkan lebih 3,000 peserta mengambil bahagian membabitkan dua kategori iaitu 5 km (fun run) dan 10 km yang masing-masing turut akan membawa bebanan pada pertengahan larian.

“Pendaftaran bagi kategori lelaki dan wanita boleh dilakukan di laman web www.racexasia.com/event/antartica-xfit-burden-run-2018 sebelum 15 November depan,” katanya – berita harian