MIRI: Bukan satu, tetapi lima rumah berkembar bernilai lebih RM3 juta di Jalan Pantai, Lutong di sini menjadi ‘mangsa’ pencerobohan individu tidak dikenali sejak seminggu lalu

Kejadian disedari pada jam 7.30 pagi kelmarin oleh kakitangan syarikat pemaju iaitu lelaki berusia lingkungan 30-an ketika melakukan pemeriksaan di kawasan perumahan itu.

Menurut sumber, hasil pemeriksaan mendapati kelima-lima rumah yang baru disiapkan dan belum dihuni itu dipecah masuk oleh individu tidak dikenali.

Sumber itu berkata, pemeriksaan lanjut mendapati sistem pendawaian elektrik dan pili air dengan nilai dianggarkan RM20,000 lesap.

“Individu terbabit dikesan memanjat tembok rumah sebelum menceroboh ke dalam rumah melalui tingkap dapur yang diumpil,” katanya.

Katanya, terdapat pondok pengawal di kawasan perumahan itu, namun kedudukannya agak jauh dari lokasi rumah yang diceroboh.

“Pihak polis sudah ke lokasi bagi menjalankan siasatan sejurus dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan,” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan – berita harian