SUNGAI BULOH: Seramai 50 ahli kariah Masjid Sungai Plong yang diceroboh babi hutan malam tadi, bergotong-royong melakukan pembersihan dan proses sertu atau samak di bahagian masjid yang terjejas.

Nazir Masjid, Hussin Rani, berkata ahli kariah turut dibantu anggota bomba dan penyelamat, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) serta Jabatan Mufti Selangor.
Beliau berkata, masjid itu perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum proses sertu dijalankan bawah pemantauan Jabatan Mufti Selangor.

BERITA TERDAHULU : Seorang Jemaah Masjid Parah Disondol Babi Hutan

 

babihutan“Setakat ini, separuh daripada bahagian masjid terkesan serta perlu dibersihkan dan disertu terlebih dahulu sebelum boleh digunakan semula.

“Hanya bahagian dinding serta lantai dibersihkan dan disertu, manakala karpet masjid pula dilupuskan,” katanya ketika ditemui, hari ini.
Hussin berkata, karpet itu akan diganti dengan yang baharu melalui sumbangan jemaah masjid.

“Kos menggantikan karpet bernilai RM34,000. Karpet berkenaan akan digantikan selewat-lewatnya petang ini.

“Saya bersyukur tiada kecederaan serius dialami jemaah masjid ketika kejadian,” katanya.
Ketika ini, beliau berkata, urusan solat jemaah dijalankan seperti biasa di ruang sembahyang yang tidak terjejas.

“Kita menjangkakan bahagian yang terjejas boleh digunakan semula pagi esok,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 8 malam tadi, seorang jemaah cedera disondol seekor babi hutan yang menceroboh ke dalam Masjid Sungai Plong.

Babi hutan itu dikatakan tiba-tiba muncul di pekarangan masjid sebelum mengejar beberapa kanak-kanak berada di kawasan terbabit.
Bagaimanapun, haiwan itu kemudian lari masuk ke dalam masjid dan menyondol seorang jemaah sehingga cedera.

Jemaah yang terkejut dengan kejadian itu kemudian cuba menghalau haiwan terbabit, namun ia ditembak mati oleh seorang jemaah yang memiliki senapang patah – berita terkini