KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 batang sumbu badak serta sembilan bangkai haiwan keseluruhannya dianggar bernilai RM48.5 juta dipercayai ingin di seludup ke Vietnam oleh sindiket penyeludupan haiwan liar antarabangsa dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Rampasan itu adalah paling besar di negara ini membabitkan sumbu badak dipercayai daripada spesies badak afrika dan bangkai haiwan dipercayai daripada spesies karnivor atau haiwan pemangsa seperti beruang, harimau, harimau kumbang dan harimau dahan.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, kesemua bahagian hawain liar itu dirampas pada 13 Ogos lalu selepas menerima maklumat daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) pada jam 8 malam mengenai kewujudan beberapa kotak berbau busuk di Pos Aviation Cawangan Eksport, bangunan Terminal Kargo Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dipercayai mengandungi bangkai haiwan.

Katanya, pemeriksaan lanjut dilakukan menemui enam kotak berkenaan mengandungi sumbu badak manakala empat lagi mengandungi bangkai haiwan tanpa kulit dipercayai daripada spesies karnivor.

“Kesemua 50 sumbu badak dirampas adalah seberat 116 kilogram (kg) dengan nilai keseluruhannya RM48 juta dan dijual di pasaran gelap pada harga RM100,000 bagi setiap kilogram.

“Manakala, sembilan set bangkai haiwan itu pula seberat 200 kg dengan nilai di pasaran gelap mencecah RM500,000,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PERHILITAN, di sini, hari ini.

Hadir sama pengarah Bahagian Penguatkuasaan PERHILITAN, Salman Saaban.

Abdul Kadir berkata, kesemua bahagian haiwan berkenaan dipercayai cuba diseludup ke satu alamat di Hanoi, Vietnam dan dibawa masuk ke negara ini dengan menjadikan KLIA sebagai laluan transit.

Katanya, PERHILITAN percaya bahagian haiwan berkenaan akan diproses untuk dijadikan serbuk bagi tujuan perubatan di Vietnam.

“Buat masa ini, kita masih menyiasat siapa pengirim kesemua bangkai haiwan, bila ia sampai di KLIA dan siapa penerimanya.

“Malah, kita percaya alamat penerimanya di Hanoi, Vietnam itu adalah palsu dan bahagian haiwan itu akan diambil oleh ahli sindiket sebaik tiba di negara berkenaan,” katanya.

Menurut Abdul Kadir, pihaknya akan menghantar sampel haiwan serta laporan rampasan kepada saintis di Geneva, Switzerland untuk ujian bagi mengesan negara asal bahagian haiwan berkenaan.

Katanya, pihaknya juga akan menghantar laporan kepada Polis Antarabangsa (Interpol) mengenai rampasan berkenaan dan kesemua bahagian haiwan itu akan dihantar pulang ke negara asal sebaik mengetahui dari mana asalnya – berita harian