KUALA NERUS: Kira-kira 50 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Kemunting di sini, bersama ibu bapa mereka diarah menjalani ujian saringan COVID-19 selepas seorang guru menjadi kontak rapat suaminya yang positif selepas pulang dari Sabah.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Salim Abdul Ghani ketika dihubungi berkata, petugas Kementerian Kesihatan (KKM) menjalankan ujian saringan COVID-19 ke atas murid terbabit bermula pagi tadi.

Katanya, murid yang terbabit adalah Tahun Satu dan Dua yang mempunyai kaitan dengan guru berkenaan di sekolah itu.

“Semua murid bersama penjaga mereka juga dikuarantin selama 14 hari di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Datuk Razali Ismail, Maras, Kuala Nerus,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan lanjut bergantung kepada arahan seterusnya daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan KKM.