IPOH: Seramai 50 usahawan menyertai kursus keusahawanan anjuran bersama Persatuan Usahawan Bersatu Ipoh (PUBI) Perak dan Open University Malaysia (OUM) di sini, hari ini.

Penutup kursus dan penyampaian sijil disempurnakan oleh Muhamad Zulhafizi Nor Wati yang mewakili Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia, NGO dan Pembangunan Koperasi, YB Hasnul Zulkarnain Abd Munaim di universiti itu, tengahari Sabtu.

YB Hasnul di dalam teks ucapan yang dibacakan Muhamad Zulhafizi berkata, kerajaan sentiasa menggalakkan usaha kolaberasi untuk keperluan awam dan bukannya tujuan individu atau komersial seperti yang dilakukan oleh PUBI dan OUM.

“NGO adalah organisasi yang ditubuhkan untuk memperjuangkan suatu kepentingan awam dan bukannya individu atau komersial. Ia memainkan peranan besar terutama dalam sektor yang tidak dapat dipenuhi dengan perkhidmatan kerajaan,” katanya.

Hadir sama Pengarah OUM Perak, Zuridah Abd Hamid dan Pengerusi PUBI Perak, Sharul Baha Abd Rahman.

YB Hasnul berkata, NGO juga membuka peluang mewujudkan organisasi masyarakat tersendiri yang mencerminkan kepelbagaian sesebuah masyarakat.

“Objektif NGO ini adalah mempromosi nilai sosial dan matlamat sivik kepada mereka yang merangkumi bidang alam sekitar, kesihatan, pembasmian kemiskinan, budaya dan sastera, pendidikan dan sebagainya,” tambah beliau.

Beliau turut mengalu-alukan usaha OUM mengadakan kerjasama dengan NGO untuk mengadakan pelbagai program penambahan ilmu dan berharap ia dapat dicontohi oleh intitusi pendidikan lain di negeri ini.

Sementara itu, Zuraidah berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk mengadakan program secara usahasama dengan mana-mana NGO yang berminat di negeri ini.

Beliau memberi contoh, antara program yang boleh dilaksanakan bersama ialah dalam bidang pengajian Islam, pendidikan awal kanak-kanak, asas perakaunan, bahasa Inggeris dan keusahawanan.

“Kita galakkan lebih banyak NGO tampil untuk menganjurkan program dengan kami secara percuma dan kita boleh menyediakan tempat untuk 100 peserta pada satu-satu masa,” jelasnya.

Dalam pada itu, Sharul Baha berkata, kursus kali ini adalah yang kedua pihaknya bekerjasama dengan OUM dan sedang merancang untuk mengadakan beberapa lagi program bersama tahun ini.