IPOH: Perak mensasarkan untuk membina 50,000 unit rumah di bawah program Rumah Perakku dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam, Hal Ehwal Bukan Islam dan Kampung Baru negeri, Yong Choo Kiong berkata, ia selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) untuk membina sejuta rumah mampu milik dalam tempoh dua penggal.

Menurut beliau, rumah-rumah itu terdiri daripada kos rendah, sederhana dan mampu milik yang akan dibina di seluruh negeri, seperti di Meru Raya, Tanjung Malim, Seri Iskandar, Manjung, Lenggong dan Gerik.

“Kita akan pastikan rumah-rumah ini dijual pada harha lebih murah daripada harga pasaran dan kita akan membina lebih banyak rumah kos sederhana yang berharga di bawah RM150,000,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

YB Yoong yakin, kerajaan negeri mampu melaksanakan apa yang telah dijanjikan kerana semuanya sudah mempunyai rancangan yang rapi.

“Dalam tempoh lima tahun lagi, kita akan melihat ramai rakyat Perak akan memiliki rumah yang mampu dimiliki,” ujarnya.

Beliau memberitahu, peranan itu akan dilaksanakan bersama oleh kerajaan negeri melalui agensi di bawahnya seperti Lembaga Perumahan dan Hartanah Perak (LPHP) dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) di samping kerjasama daripada sektor swasta.

Di bawah program Rumah Perakku, kerajaan negeri menetapkan harga rumah kos rendah di bawah RM90,000 manakala rumah kos sederhana tidak lebih RM150,000 dan rumah mampu milik di bawah RM250,000.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, pemilihan Ahli Majlis untuk 15 pihak berkuasa tempatan (PBT) di kalangan parti komponen PH telah selesai dan mereka dijangka mengangkat sumpah minggu ini.

Di samping itu, katanya, dua orang Ahli Majlis daripada badan bukan kerajaan (NGO) untuk setiap PBT juga akan diputuskan malam ini dan dijangka mengangkat sumpah minggu hadapan.

“Kita mahu Ahli Majlis segera angkat sumpah supaya mereka boleh melaksanakan tanggungjawab secara rasmi dengan secepat mungkin.” Tambahnya.

Di majlis itu, YB Yoong turut menerima sumbangan RM100,000 untuk Tabung Harapan daripada syarikat pengangkutan Perak Transit Berhad yang disampaikan sendiri oleh Pengarah Urusannya, Datuk Seri Cheong Kong Fitt dan Pengarahnya, Datuk Cheong Peak Sooi.

Beliau turut mengumumkan pelantikan beberapa orang pegawai yang akan membantunya, termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buntong, A Sivasubramaniam sebagai Setiausaha Politik.