IPOH: Sebanyak 53 Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan  (NGO) Islam di Perak mengesa badan berwajib lebih serius serta mengambil langkah drastik dalam membanteras aktivti perjudiaan di kalangan umat Islam di negeri ini khususnya di sekitar bandaraya.

Ini kerana dakwa mereka, melalui intipan yang dibuat ke atas lapan pusat perjudian berlesen di sekitar Ipoh, hampir 90 peratus pelanggan di premis terbabit adalah umat Islam sendiri.

Wakil gabungan NGO terbabit, Amiruddin Mohd Daud, berkata perkara tersebut tidak seharus berlaku kerana pusat-pusat perjudian berlesen terbabit diwajibkan menghalang umat islam untuk memasuki premis mereka mengikut syarat operasi yang dikeluarkan.

Namun perkara sebaliknya berlaku didakwa kerana badan berwajib tidak melakukan pemantauan yang serius dan berterusan terhadap pengunjung serta tuan premis terbabit.

“Lebih menyedihkan tiada usaha bersungguh-sungguh oleh pelbagai pihak berwajib yang sepatutnya melihat perkara ini dengan serius kerana mereka mempunyai kuasa untuk menyekat, menangkap dan mendakwa umat Islam yang berjudi dan minum arak di premis terbabit.

“Kita mendesak pihak berwajib seperti Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPK), Pihak Berkuasa Tempatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan lain-lain jabatan yang terlibat untuk bertindak lebih agresif dengan kadar segera serta melakukan serbuan.

“Kita tidak mahu tindakan yang dibuat juga bersifat sekali sahaja kemudian senyap, kita mahu ia berterusan sehingga masalah ini selesai,” katanya pada satu sidang media khas di sini pada Sabtu.

Kata beliau, sekiranya isu terbabit tidak ditangani secepat mungkin ia bakal membawa umat Islam di negeri ini ke arah kehancuran moral.

“Kita telah membuat aduan kepada JAIPK tentang masalah ini sebanyak enam kali namun hanya satu serbuan sahaja dibuat dan mereka memberi alasan tidak mampu buat banyak serbuan kerana kekurangan kakitangan.

“Atas dasar perjuangan Islam, kami NGO-NGO yang hadir hari ini sudi menawarkan diri kami untuk membantu JAIPK sekiranya memerlukan orang, kita boleh bantu mereka membuat operasi sekiranya diperlukan,” ujar beliau lagi.

Tambah beliau, jika isu terbabit tidak mendapat perhatian pihak berwajib, pihaknya akan mengumpul lebih banyak NGO seluruh negara untuk membuat bantahan termasuk menghantar memorandum kepada Sultan Perak Sultan Nazrin Muizzudddin Shah.

Antara NGO yang hadir Persatuan Budak Bas Stand Ipoh, Majlis Ayahanda Negeri Perak, Pondok Kadir Al Jaafar dan Dunia Seni Silat Malaysia.