TAPAH: Bomba berjaya menyelamatkan enam individu yang menaiki sebuah kereta dan sebuah motosikal selepas terperangkap dalam banjir kilat di Kampung Tersusun Batu 2 Tambahan, di sini pada petang Sabtu.

Jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 3.11 petang.

“Kejadian melibatkan empat orang yang menaiki kereta Proton Waja dan dua lagi menaiki motosikal.

“Kenderaan mereka terperangkap dalam banjir ketika melalui laluan rendah yang dinaiki air sedalam kira-kira satu meter.

“Kesemua mangsa telah dibawa ke tempat selamat dengan menggunakan jaket keselamatan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan sebentar tadi.

Tambah beliau, sebuah lori treler yang dinaiki dua individu turut terperangkap dalam banjir tersebut namun mereka mahu menunggu sehingga air surut.

Dalam kejadian berasingan, sebuah keluarga dari Kampung Ekspo, Jalan Kolam 1, Kamunting telah dipindahkan ke transit balai berdekatan selepas rumah mereka dinaiki air.

Jurucakap Bomba berkata, dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, empat orang dewasa dan tiga kanak-kanak telah dipindahkan.

“Paras air di rumah mangsa mencecah 1 kaki dan terdapat sebuah rumah sahaja yang terlibat di mana air banjir bertakung dalam rumah.

“Mereka sekeluarga telah dipindahkan oleh anggota bomba ke transit balai sementara menunggu bantuan dari pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan secara berasingan.