LUMUT 28 Jun- Polis menahan enam individu dan merampas 14 buah motosikal dalam Ops Lejang di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Jering, Ayer Tawar, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asistan Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, operasi pada pukul 6 petang itu dilakukan berikutan aduan orang awam mengenai kes kecurian kelapa sawit.

Menurutnya, enam lelaki yang ditahan berumur antara 30 hingga 40-an.

“Hasil pemeriksaan mendapati, seorang daripada enam lelaki yang ditahan memiliki dadah dalam empat paket plastik lut sinar mengandungi ketulan kristal dipercayai syabu seberat 0.94 gram.

“Pemeriksaan itu turut menemukan sepaket plastik disyaki syabu dengan anggaran berat 0.95 gram dan 0.96 gram yang dipercayai untuk kegunaan suspek,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Muhammad Hanif berkata, hasil semakan turut mendapati suspek berumur 37 tahun itu mempunyai enam rekod kesalahan lampau membabitkan kes curi dan ujian awal saringan air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis ganja.

Menurutnya, lima lagi lelaki yang ditahan turut menjalani ujian awal saringan air kencing dan kesemua mereka positif dadah.

Katanya, daripada siasatan yang dijalankan, beberapa individu yang mengaku mencuri kelapa sawit di Kampung Jering dipercayai untuk membeli dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama dan semua suspek ditahan reman empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut,” katanya.

Muhammad Hanif berkata, operasi tersebut turut menjalankan pemeriksaan ke atas beberapa buah motosikal yang berada di ladang tersebut dan merampas 14 motosikal dipercayai dicuri dan menggunakan nombor pendaftaran palsu. – UTUSAN ONLINE