SHAH ALAM – Bagaikan tiada kesudahan apabila lebih enam juta penduduk Selangor dan Kuala Lumpur sekali lagi berdepan masalah gangguan bekalan air tidak berjadual selepas empat buah Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Sungai Selangor Fasa 1 (SSP1), SSP2, SSP3 dan Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas.

Kesemua loji berkenaan terpaksa dihenti tugas bermula pukul 12.20 hingga 12.45 tengah hari semalam susulan pencemaran bau yang dikesan di Sungai Selangor.

Gangguan bekalan air kali ketiga dalam tempoh tiga bulan itu telah memberi kesan kepada lebih 1.1 juta akaun berdaftar dengan Air Selangor.

Lebih memeritkan, kejadian terbaharu itu berlaku ketika rakyat terpaksa berdepan Pe­rintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selain sambutan Deepavali yang bakal disambut Sabtu ini.

Kali pertama kesemua loji berkenaan ditutup ialah pada 3 September lalu sebelum sekali lagi ditutup pada 19 Oktober.

Untuk rekod, keempat-empat loji tersebut membekalkan lebih 60 peratus bekalan air terawat kepada penduduk di sekitar Lembah Klang.

Ketua Komunikasi Korporat, Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd, Elina Baseri berkata, gangguan bekalan air itu akan melibatkan 1,279 kawasan merangkumi Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Sela­ngor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

Katanya, bekalan air bagi ke­semua kawasan tersebut ditutup bermula pukul 6 petang semalam.

“Henti tugas ini akan memberikan kesan kepada lebih 1.1 juta akaun berdaftar dengan Air Selangor.

“Pencemaran bau di muka sauk LRA Rantau Panjang dikesan pada tahap 8 ton, manakala LRA SPP1, SPP2 dan SSP3 adalah pada 4 ton setakat pukul 2.30 petang tadi,” katanya dalam kenya­taan di sini semalam.

Elina berkata, tindakan awal telah dilakukan oleh pihaknya bersama Lembaga Urus Air Se­langor (LUAS) dalam menyelesaikan pemasalahan tersebut.

Ujarnya, ini termasuk mencairkan bahan pelarut dan ‘flushing’ bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Sela­ngor dengan melepaskan air dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 300 juta liter sehari (JLH) dan Empangan Sungai Tinggi sebanyak 500 JLH.

“LUAS pula telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasiti 192 JLH untuk tujuan yang sama.

“Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19 dan pelaksanaan PKPB.

Sementara itu, LUAS me­negaskan, berdasarkan pemantauan menerusi Ops Sumber Air setakat pukul 6 pagi semalam mendapati rekod bacaan ­te­r­akhir masih 0 ton.

“Bagaimanapun, Air Selangor mengesan pencemaran bau sekitar 8 ton di LRA Rantau Panjang tengah hari semalam,” jelasnya. – Kosmo