PUTRAJAYA : Umat Islam di Malaysia perlu bersatu padu dalam mendepani ancaman aqidah yang melanda dunia Islam.

Atase Agama Kedutaan Arab Saudi di Kuala Lumpur, Syeikh Abdurrahman Ibrahim Al – Rubai’in, berkata antara cabaran dihadapi umat Islam hari ini ialah perpecahan yang dibawa oleh ajaran Syiah.

“Perbezaan antara Ahli Sunnah dengan Syiah bukan membabitkan soal Fiqiyyah semata-mata, tetapi juga antara haq dengan yang batil,” katanya pada majlis perasmian Konvensyen Ilmu Sunnah Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Konvensyen anjuran Pertubuhan Ilmuan Malaysia (iLMU) dengan kerjasama pihak Mustasyar Al-Islami Arab Saudi itu disertai kira-kira 200 peserta dari seluruh negara.

Syeikh Abdurrahman berkata, ulama terdahulu telah melakukan usaha Taqrib (mendekati) kelompok berkenaan, namun ia usaha yang sia-sia ekoran tidak wujud sebarang titik pertemuan antara Sunnah dan Syiah.

Penyatuan Syiah dengan Sunnah tidak akan tercapai ekoran sikap Syiah itu sendiri yang tidak mengiktiraf al-Quran yang berada di sisi ahli Sunnah.

Sementara itu, konvensyen berkenaan menggariskan enam resolusi bagi mengekang gerakan ajaran Syiah di Malaysia.

Setiausaha Agung iLMU, Ahmad Fazrin Yahaya, ketika membacakan resolusi itu berkata, pertama pihaknya mempersembahkan harapan tinggi kepada Majlis Raja-Raja untuk mengambil segala langkah sewajarnya dalam melipatgandakan usaha mengekang gerakan terbabit.

K-iSDC 2019 turut menggesa jabatan agama negeri dan Kerajaan Persekutuan secara umumnya agar menyebar luas kempen menerusi pelbagai medium komunikasi bagi meningkatkan kesedaran berhubung kesesatan dan bahaya ajaran Syiah.

“Di samping itu, kami menyeru kerajaan agar menyekat sebarang ruang media kepada mana-mana kumpulan Syiah atau pembelanya menzahirkan pemikiran atau tuntutan mereka.

“Merealisasikan hasrat itu juga, K-iSDC 2019 mencadangkan penganjuran segera satu persidangan ulama’ Ahli Sunnah Wal Jamaah peringkat antarabangsa di bawah payung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) bagi membincangkan tajuk-tajuk utama berkaitan bahaya ajaran Syiah dengan Malaysia dicadangkan sebagai negara penganjur.

“Juga menyeru kerajaan agar terus bersama dengan negara-negara Islam untuk memperkukuhkan kesatuan umat Islam di bawah payung OIC diketuai oleh Arab Saudi, serta berwaspada dari bekerjasama dengan pihak yang mempunyai agenda untuk memporak-perandakan kesatuan ini,” katanya.

Ahmad Fazrin berkata, konvensyen turut mengajak masyarakat Islam untuk bersama-sama berusaha menolak ajaran Syiah dengan menambah ilmu dan maklumat berkaitan menerusi pengajian ilmu yang berterusan.