PUTRAJAYA: Lebih 600 petugas kesihatan di negara ini dilaporkan dijangkiti wabak Covid-19 setakat semalam. 

Daripada jumlah itu, 406 petugas merupakan kakitangan hospital di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia dan selebihnya terdiri daripada petugas kesihatan sektor swasta. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba berkata, walau bagaimanapun, pihaknya telah mengambil beberapa inisiatif untuk mengatasi perkara tersebut demi menyuntik semula semangat kepada para petugas. 

“Kita ada talian psikososial yang kita buka melalui Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) dan talian kasih Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Di samping pihak kita sendiri membuat satu usaha yang mana unit klinikal psikologi melaksanakan tanggungjawab mengajar petugas kesihatan sebelum mereka menjalankan tugas merawat pesakit Covid-19.

“Kita juga ada buat kajian dalam kalangan petugas kesihatan sekiranya terdedah kepada situasi yang membahayakan diri sehingga berada dalam keadaan tertekan,” katanya ketika sidang akhbar pelancaran ‘Putrajaya in Orange’ di sini, malam kelmarin.

Mengulas lanjut, Dr. Adham berkata, antara aduan yang diterima adalah kebanyakan mereka berhadapan tekanan tinggi kerana faktor berjauhan dengan keluarga, terpaksa mengikut standard operasi prosedur (SOP) yang ketat, letih dan isu berkaitan pampasan dan elaun. 

“Mereka yang berhadapan dengan kes-kes psikososial ini, kita terus rawat mereka. Kita tidak benarkan mereka jalankan tugas merawat pesakit Covid-19.

“Kita juga menempatkan mereka ke seksyen lain dan berjumpa dengan mereka serta bawa bertemu pakar psikitari,” ujarnya lagi.

Dr. Adham sebelum itu melancarkan program Putrajaya in Orange bersempena Hari Keselamatan Pesakit 2020 melibatkan lima bangunan iaitu Pejabat Perdana Menteri, Jambatan Seri Warisan, Jambatan Seri Saujana, Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia dan Zenith Hotel. 

Bangunan-bangunan lain sekitar Putrajaya dinyalakan dengan pencahayaan fasad jenis ‘Festive Mode warm white’ pelbagai tona dan spektrum jingga menggunakan pencahayaan sedia ada. -UTUSAN