SITIAWAN, 4 Julai (Bernama) — Jabatan Perkhidmatan Veterinar telah menghantar 6,000 dos vaksin virus Rabies atau penyakit anjing gila ke Sarawak sejak semalam bagi mengekang penularan virus tersebut.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata vaksin berkenaan akan diberikan kepada anjing dan kucing yang tidak dijangkiti Rabies bagi mengelak penyakit tersebut dari terus merebak.

“Di dua kampung yang terlibat itu, kita telah melihat banyak anjing dan kucing? terdapat hampir 160 ekor anjing dan 180 ekor kucing.”

“Kita turut menghantar empat pegawai veterinar bagi membantu Jabatan Veterinar Sarawak dalam menyelesaikan masalah ini dengan segera,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Kolej Perikanan Malaysia Lumut (KPML) di Kompleks Perikanan Kampung Acheh di sini hari ini yang dirasmikan Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah.

Sabtu lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tiga kanak-kanak termasuk dua beradik berumur 4, 6 dan 7 tahun di daerah Serian, Sarawak sedang menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas dijangkiti virus Rabies.

Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata siasatan lanjut mendapati dua daripada mangsa mempunyai sejarah digigit anjing lebih kurang sebulan atau dua bulan sebelum mula menunjukkan tanda dan gejala, manakala seorang lagi mangsa tidak dapat dipastikan sama ada pernah digigit anjing.

Ahmad Shabery berkata, Jabatan Veterinar Sarawak sedang memberi vaksin kepada anjing dan kucing dalam kawasan meliputi satu kilometer radius di dua buah kampung yang telah dijangkiti virus tersebut iaitu Kampung Paon, Sungai Rimu; dan Kampung Lebur Gedung, dalam daerah Serian.

Beliau berkata pihaknya akan memperluaskan pemberian vaksin tersebut sehingga enam kilometer bagi memastikan tiada anjing dan kucing yang terlepas dari diberikan vaksin itu.

“Kita ada stok vaksin banyak sehingga 20,000 dan 30,000 dos. Jadi saya berharap kita akan dapat mengawal keadaan,” katanya.

— BERNAMA