IPOH: Sebanyak 6,000 iklan pinjaman wang tanpa lesen telah diturunkan polis dan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dalam satu operasi yang berlangsung sejak Selasa di sekitar bandar raya ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Ipoh, Superintendan Abdul Rani Alias berkata, semua iklan tersebut diturunkan di sekitar Bercham, Kampung Tawas dan Gunung Rapat.

“Siasatan kami juga mendapati nombor-nombor yang tertera di dalam iklan ini adalah didaftarkan secara tidak betul.

“Kebanyakan nombor itu didaftarkan di bawah nama pendatang asing atau penagih dadah supaya menyukarkan pihak polis mencari dalang sebenar,” katanya pada sidang media sebaik tamat operasi itu, di sini pada Khamis.

Menurut beliau, operasi itu djalankan bagi mengekang aktiviti pinjaman wang tanpa lesen di bandar raya ini.

Katanya, sejak Januari tahun ini, 68 individu yang dipercayai terbabit dalam kegiatan ceti haram atau along telah ditahan di sekitar Ipoh.

Tambah beliau, semua suspek lelaki berusia 20 hingga 60 tahun itu ditahan susulan daripada 99 laporan polis yang dibuat dalam tempoh sama.

“Semua tangkapan adalah hasil daripada 99 laporan polis yang dibuat mangsa manakala lima kes dibuka kertas siasatan berikutan diugut dan diganggu oleh along.

“Saya ingin menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran mereka (along) kerana ini hanya akan membawa bahaya kepada peminjam,” ujar beliau.

Abdul Rani berkata, usaha membanteras kegiatan along akan diteruskan dari semasa ke semasa.

Katanya, semua kes disiasat mengikut Seksyen 5(2), Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 manakala bagi kesalahan menggantung papan iklan pula disiasat mengikut Seksyen 29A (1) A, akta yang sama.