MANILA: Pemantauan lebih 19 jam mendapati kawah Gunung Mayon semakin aktif memuntahkan lava serta debu hingga mencecah setinggi lima kilometer (km) ke udara.

Susulan itu, amaran paras tertinggi iaitu tahap lima telah dikeluarkan selepas puncak kawah dikesan menghamburkan lava.

Keputusan itu dibuat ahli vulkanologi tempatan dari Institut Vulkanologi dan Seismologi (Phivolcs).

Pada masa sama, pihak berkuasa memindahkan lebih 61,000 penduduk di kawasan sekitar gunung berapi itu.

Menurut institut itu, lava naik antara 500 hingga 600 meter tinggi selama kira-kira tujuh minit hingga lebih sejam.

“Keadaan ini menyebabkan abu menjulang antara tiga kilometer hingga lima kilometer di atas kawah,” kata ahli institut berkenaan.

Setakat ini, arahan penutupan sekolah dikeluarkan di 17 bandar dan kawasan Albay serta berhampiran wilayah Camarines Sur yang terjejas.

Selain itu, letusan Gunung Mayon juga telah mengakibatkan kira-kira 56 penerbangan dibatalkan. – Reuters