LUMUT 17 Mei – Sebanyak 62 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Op Khas Samseng Jalanan Ramadan yang dijalankan di Kilometer 7 Jalan Lumut – Ipoh di sini.

Operasi bermula pukul 11 malam semalam hingga 5 pagi dijalankan oleh empat pegawai dari Bahagian Siasatan Penguatkuasaan Trafik Daerah dan 14 anggota Polis Daerah Manjung.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, antara kesalahan dikenal pasti ialah tidak mempunyai lesen, ubah suai ekzos serta lampu brek tidak berfungsi.

“Dalam operasi itu, sebanyak 107 motosikal diperiksa membabitkan 111 penunggang dan pembonceng motosikal.

“Polis turut menyita lima buah motosikal dan telah dibawa ke Balai Polis Daerah Manjung untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Muhammad Hanif, pihaknya akan terus mempergiat usaha membendung samseng jalanan melibatkan penunggang motosikal di daerah Manjung.

“Kegiatan samseng jalanan melibatkan penunggang motosikal menimbulkan rasa tidak selesa ​​​selain mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain,” katanya. – UTUSAN ONLINE