SELAMA: Seramai 63 anggota bomba dari enam buah Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) serta enam Pasukan Bomba Sukarela (PBS) terlibat dalam operasi memadamkan kebakaran Kedai Zon Jimat RM2 di Sungai Kerian, di sini, hari ini.

Enam BBP yang terlibat ialah Selama, Batu Kurau, Kamunting, Serdang, Bagan Serai dan Kuala Kurau manakala enam PBS ialah dari Kuala Kurau, Sungai Puyu, Sungai Jawi, Parit Buntar, Baldor dan Kampung Jawi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, mereka menerima panggilan mengenai kebakaran itu pada 1.43 petang.

“Kebakaran melibatkan sebuah kedai RM2 (barangan plastik dan perabot) kelas B berkeluasan 150 X 150 yang musnah terbakar 60 peratus.

“Bagaimanapun kebakaran tidak melibatkan sebarang mangsa,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, buat masa ini, pihaknya sedang melakukan kerja-kerja ‘overhaul’ bagi memastikan kebakaran telah dipadamkan sepenuhnya.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. Operasi pemadaman diketuai Penolong Penguasa Bomba Mohd Nor Khairi Johari.

Turut membantu Ketua Zon 2, Penguasa Kanan Bomba II Zaipulbahri Mat Rusak@Hassan dan Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Perak, Mohamad Yunus Abu.