LENGGONG: Seramai 65 penduduk terpaksa dipindahkan ke tiga pusat pemindahan berikutan banjir kilat yang berlaku dekat sini sejak petang Jumaat.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Lenggong berkata, banjir itu melibatkan enam buah kampung yang terletak berhampiran Sungai Nerok.

Katanya, pihak bomba menerima panggilan pada pukul 6 petang dan segera menghantar jentera ke lokasi bagi operasi penyelamatan dengan dibantu oleh BBP Kuala Kangsar dan BBP Gerik.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi, kami mendapati berlaku limpahan air sungai dan kedalaman air pada waktu itu adalah dianggarkan setinggi dua meter.

“Bagaimanapun, air mulai surut secara berperingkat dan seramai 65 mangsa diarahkan berpindah sementara ke tiga pusat pemindahan berasingan.

“Tiga pusat itu ialah Dewan Orang Ramai Kg Chain, Surau Kg Baru dan Masjid Kg Belimbing di sini,” katanya.

Jurucakap itu berkata, seramai 60 pegawai dan anggota pelbagai agensi dibantu oleh Majlis Daerah Lenggong terlibat dalam operasi memindahkan mangsa banjir berkenaan.

“Semua agensi terlibat juga menjalankan pemantauan secara berkala setiap dua jam di kawasan berkenaan,” katanya.

Operasi yang diketuai oleh Penolong Penguasa Bomba Mohd Annuar Mohd Saff tersebut tamat pada pukul 12.38 pagi.