IPOH: Seramai 650 peserta akan mengambil bahagian dalam Gua Tempurung Lipstick Vs Pomade Challenge 2018 yang akan diadakan pada 26 – 28 Januari ini di kawasan pelancongan Gua Tempurung, Gopeng.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, penganjuran untuk cabaran lipstick adalah kali ketiga, manakala cabaran pomade diperkenalkan pertama kali tahun ini.

Menurut beliau, bilangan penyertaan juga meningkat kepada 650 tahun ini, berbanding 570 tahun lalu.

“Sebanyak lapan jenis halangan yang disediakan dengan masing-masing dua kategori untuk lelaki dan wanita iaitu kategori terbuka dan veteran,” katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, pada Isnin.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Perak Management Berhad, Zuraida Md Taib dan Pengerusi Persatuan Informasi Pelancongan dan Kesihatan Perak, Noradidah Mokhtar.

Gua Tempurung Lipstick Vs Pomade Challenge 2018 adalah anjuran Persatuan Informasi Pelancongan dan Kesihatan Perak dengan kerjasama Tourism Perak, RAT Adventure Concultant dan APT Consortium Sdn Bhd.

Nolee berkata, dengan tambahan kategori untuk lelaki, pihak penganjur menggalakkan pasangan suami isteri untuk mengambil bahagian.

Kategori terbuka adalah untuk peserta berumur antara 13 – 45 tahun manakala veteran untuk mereka yang berumur 45 tahun ke atas.

Untuk keterangan lanjut boleh melayari FB: Lipstick Vs Pomade Challenge 2018.