KOTA BHARU: Lebih 70 pelabur mendakwa kerugian RM4 juta selepas wang yang dilaburkan untuk mengusahakan sebuah restoran, di Jalan Sultan Yahya Petra, di sini, lesap.

Setiap pelabur yang kebanyakannya terdiri daripada guru dan pesara, melabur sekurang-kurangnya RM50,000 hingga RM200,000, dengan dijanjikan bonus RM2,000 setiap bulan.

Wang pelaburan itu akan dibayar semula kepada pelabur selepas genap setahun restoran itu beroperasi.

Bagaimanapun, sehingga kini, bukan sahaja restoran itu ditutup, malah wang mereka lesap dan pengusaha restoran terbabit gagal dikesan.

Pelabur, Zakaria Awang, 50, berkata beliau mula melabur pada April 2014 bersama isterinya dengan nilai pelaburan sebanyak RM70,000, dengan harapan untuk menambah pendapatan.

Beliau yang juga pesara tentera berkata, beliau tidak mengesyaki perkara pelik sebelum nekad melabur memandangkan restoran berkenaan sudah wujud dan pengusaha yang berasal dari Johor itu mendakwa memerlukan modal RM4 juta.

“Setiap pelaburan juga disertai perjanjian menyebabkan kami yakin ia sahih. Selepas restoran itu beroperasi pada April 2015, sambutan terhadap restoran itu begitu menggalakkan dan memperoleh pendapatan RM18,000 hingga RM21,000 sehari.

“Namun, pengusaha restoran itu tidak memberi kami bonus bulanan seperti yang dijanjikan dengan alasan wang masih belum mencukupi.

“Dia sering guna alasan wang tak cukup menyebabkan kami mula syak ada perkara yang tak betul.

“Tidak sampai setahun, restoran itu ditutup tanpa sebarang perbincangan dengan pelabur. Pengusaha itu hilang tak dapat dijejaki, begitu juga dengan wang kami,” katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Sementara itu, Rohani Long Ahmad, 60, berharap wang pelaburan yang dibuat arwah suaminya, Samsudin Mamat, 68, dipulangkan semula.

“Saya kecewa apabila suami memberitahu wang pencennya bernilai RM50,000 sudah dilaburkan untuk restoran berkenaan.

“Saya sudah buat laporan polis dan berharap tindakan diambil terhadap pengusaha berkenaan.

“Saya berharap wang kami dikembalikan semula…saya tidak bekerja dan anak masih belajar,” katanya yang menetap di Kuala Berang, Terengganu – berita harian