IPOH: Program Ipoh Car Free Day kali ke-24 hari ini telah berjaya menarik 7,000 wargakota Ipoh di Jalan Raja Dihilir di sini.

Program pada kali ini bertemakan Sambutan Hari Diabetes Sedunia turut menarik kehadiran pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

Antara aktiviti yang telah diadakan adalah senamrobik, pemeriksaan mata oleh Optomedik, Pameran dari PDRM, pemeriksaan kesihatan oleh KPJ dan pertandingan mewarna.

Antara aktiviti menarik lain adalah Kempen Pencegahan Diabetes oleh Pejabat Kesihatan Kinta, Human Table Football (Hutafu) dan edaran daun Catatan Impian Wargakota untuk wargakota memberikan. pandangan dan idea untuk memajukan lagi Bandaraya Ipoh.

Program kali ini juga dimeriahkan dengan kehadiran pegawai dan anggota Jabatan Pembangunan Komuniti, Majlis Bandaraya Shah Alam, Urusetia CFD Shah Alam yang turut bersama-sama wargakota Ipoh di sepanjang program tersebut.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Zamri Man berharap program itu akan menjadikan Ipoh sebuah bandar rendah karbon serta menarik kehadiran wargakota untuk bersantai pada hujung minggu.

Aktiviti itu juga diharapkan dapat memeriahkan Tahun Melawat Perak 2017.