IPOH : Pelantikan kembali Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Besar Perak yang diperkatakan banyak pihak, mungkin dibuat setelah pelbagai pertimbangan.

Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari berpendapat, bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bukanlah satu-satunya kriteria utama dalam pelantikan itu.

Menurutnya, pelantikan tersebut berkemungkinan mengambil kira situasi politik yang berlaku di peringkat pusat dan memerlukan seorang yang pernah menjadi Menteri Besar.

“Walaupun dari segi pembentukan kerajaan, baik di pusat ataupun peringkat negeri, ia bergantung kepada bilangan atau majoriti yang ada.

“Tetapi harus juga kadang kala diambil kira setakat mana kelestarian ataupun setakat mana angka itu boleh bertahan.

“Jadi di sini yang kadang kala mungkin agak tidak selari dengan bilangan yang ada, oleh kerana ada faktor-faktor lain yang perlu diambil kira,” katanya ketika ditemui di kediamannya di sini, hari ini.

Beliau mengulas pelantikan Ahmad Faizal pada Jumaat walaupun Pengerusi Perhubungan Ummo Perak, Datuk Saarani Mohamad dilihat mempunyai sokongan.

Menurutnya, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mempunyai pelbagai pertimbangan sebelum melantik Ahmad Faizal selain ia merupakan prerogatif baginda.

Dalam pada itu, Abdul Aziz yang juga ADUN Tebing Tinggi dari DAP khuatir kerajaan Perak yang baharu dibentuk melalui gabungan Perikatan Nasional tidak dapat bertahan lama.

Katanya, kerajaan yang dibentuk merupakan kerajaan pintu belakang walaupun pembentukannya sah dari segi undang-undang tetapi dari segi politik, ia tidak mendapat mandat rakyat.

Menurutnya, kerajaan Perak yang baharu ini juga tidak mempunyai manifesto sendiri sekaligus mereka tidak ada panduan untuk mentadbir mengikut acuan tertentu.

“PH akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang sebab kita menjangka bahawa kita mempunyai alasan atau hujah moral kuat menjadi kerajaan dan kita yakin kerajaan yang ada ini takkan lama,” ujarnya.