TANJUNG MALIM: Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, beliau akan berbincang dengan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berhubung isu calon kerusi Parlimen Rembau pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15.

Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata, tambahan pula kedua-dua mereka adalah daripada Umno bahagian yang sama iaitu Rembau.

Mohamad adalah Ketua Umno Bahagian manakala Khairy pula ialah timbalannya.

“Jadi biarlah kita bincang secara adik beradik dalam konteks keluarga Rembau, Umno Rembau dan dalam perbincangan tu boleh lah kita buat keputusan, tak perlu lah kita komen di luar, kita bincang dalaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis makan tengahari bersama jentera Ziarah Kasih di Pusat Daerah Mengundi Felda Besout 2, dekat sini, hari ini.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk melepaskan kerusi Parlimen Rembau kepada Mohamad, Khairy berkata, biarlah mereka berbincang terlebih dahulu.

Baru-baru, ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Umno Cawangan Sri Kota,
Mohamad mengumumkan akan bertanding di kerusi parlimen Rembau pada PRU15 nanti.

Dengan pengumuman itu, Khairy dikatakan perlu mencari kerusi lain untuk bertanding.