PENEMBAK Christchurch yang membunuh 51 orang awam pada 2019 dalam serangan di dua masjid di New Zealand, Brenton Tarrant, turut merancang untuk membakar masjid berkenaan.

Tarrant, mengaku bersalah atas 51 tuduhan membunuh, 40 tuduhan cubaan membunuh dan satu tuduhan melakukan keganasan.

Perbicaraan kes itu bermula pada Isnin selama empat hari.Menurut pertuduhan, yang dibacakan Pendakwa Raya Diraja Barnaby Hawes, pengganas itu hati-hati merancang serangan berkenaan bertujuan menyebabkan sebanyak mungkin kematian.

Tertuduh turut merancang untuk membakar masjid-masjid itu di akhir serangan.Sebelum serangan itu, Tarrant telah mengumpulkan banyak maklumat mengenai pelan dalaman masjid, lokasi, waktu solat dan tarikh penting kalendar umat Islam ‘bagi memastikan waktu paling sibuk di masjid’.

Tarrant merupakan rakyat Australia yang berpindah ke New Zealand pada 2017.

Serangan, yang dilakukan Tarrant pada 15 Mac 2019, di bandar terbesar di selatan pulau New Zealand itu, disiarkan secara langsung di Facebook melalui kamera yang dipasang di badannya.

Salah seorang mangsa yang ditembak dengan sembilan das tembakan semasa serangan masjid Christchruch tahun lalu memaklumkan, dia terpaksa meneruskan kehidupan dengan kesakitan dan kecacatan.

Temel Atacocugu yang berasal Turki turut memberitahu mahkamah, trauma akibat serangan itu akan menghantuinya selamanya.

“Saya akan hidup dalam kecacatan dan kesakitan kesan daripada kecederaan itu (akibat ditembak).

Bagaimanapun, saya kuat. Seorang lelaki Turki yang dibesarkan untuk bertempur,” ujar Temel ketika sesi pendengaran di Mahkamah Tinggi Christchurch pada Isnin.

Perbicaraan itu memberi peluang kepada beberapa keluarga dan mangsa yang selamat untuk berdepan suspek, Brenton Tarrant.

Supek yang berusia 29 tahun itu mengaku bersalah pada bulan Mac terhadap 51 tuduhan pembunuhan, 40 tuduhan percubaan pembunuhan dan satu tuduhan keganasan.

Dia boleh menjadi orang pertama di New Zealand yang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan pembebasan bersyarat.