GOPENG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) meneruskan usaha mencari Mohamad Ashraf Hassan, 29, atau lebih dikenali sebagai Acap yang hilang ketika menyertai acara larian Gopeng Ultra Trail di Gua Tempurung, Gopeng, Perak pada 23 Mac tahun lalu.

Ia dilakukan melalui pelbagai cara termasuk yang terbaharu, latihan Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM) dari 19 hingga 23 September ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Perak, Mohamad Yunus Abu berkata, seramai 150 anggota bomba dan Pasukan Gerakan Am (PGA), melakukan latihan jalan lasak di laluan yang pernah dilalui mangsa sepanjang 25 kilometer yang mereka namakan Acap Trail.

“Kita berharap melalui program ini atau latihan ini, kita dapat petunjuk baru berkaitan dengan kehilangan Acap.

“Setidak-tidaknya kemungkinan lah, jika ada kemungkinan Acap ini terjatuh dan tertimbus oleh tanah, dalam tempoh satu tahun lebih ini, dengan faktor cuaca kita dapat menemui sebarang kemungkinan, kemungkinan lah baju atau kasut atau sebagainya untuk membolehkan kita meneruskan pencarian yang lain,” katanya.

Beliau ditemui menyertai latihan pasukan elit bomba, STORM di Gua Tempurung, di sini, hari ini.

Kehilangan Acap dianggap misteri berikutan sehingga kini tiada sebarang jejaknya ditemui.

Pada 21 April tahun lalu, berita penemuan tulang manusia di Gua Kandu, Gopeng amat mengejutkan banyak pihak namun ia disahkan bukan tulang Acap selepas ujian deoksirinobukleik (DNA) mendapati ia tidak sepadan ahli keluarganya.

Selain pihak berkuasa seperti bomba dan polis, usaha pencarian mangsa turut dilakukan pelbagai pihak seperti kumpulan pendaki dari dalam dan luar negara.

Dalam pada itu, Mohamad Yunus berkata, latihan yang dijalankan itu juga bertujuan memperkemaskan lagi kemampuan teknikal, logistik dan komunikasi untuk menghadapi sebarang kemungkinan bencana alam yang sering berlaku ketika hujung tahun.

Menurutnya, 150 pegawai dan anggota bomba itu adalah dari negeri Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Perlis.