KLANG: Polis merampas 8.2 kilogram (kg) dadah disyaki methamphetamine yang siap diproses dalam bungkusan teh Cina dianggarkan bernilai RM526,000, hasil serbuan di sebuah hotel bajet di Pelabuhan Klang, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli, berkata dalam serbuan jam 9 pagi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik itu, pihaknya turut menahan seorang lelaki Indonesia berusia 33 tahun bersama lapan bungkusan peket teh Cina yang mengandungi dadah.

“Suspek dipercayai datang ke sini mendapatkan bekalan dadah bagi pasaran Indonesia kerana dia dilihat berada di negara ini untuk tempoh seminggu sahaja.

“Dadah jenis methamphetamine mendapat permintaan tinggi mereka terbabit di negara jiran berikutan harganya boleh mencecah tiga kali ganda daripada yang dijual di Malaysia.

“Anggaran nilai dadah yang dirampas dalam serbuan itu ialah RM526,000,” katanya pada sidang media di IPD Klang Selatan, hari ini.

Shamsul Amar berkata, hasil maklumat risikan, polis percaya dadah berkenaan dibungkus dalam peket teh Cina sebagai cara untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa.

“Polis masih menyiasat dari mana suspek memperoleh peket teh berkenaan. Teh itu didapati bukan produk tempatan.

“Polis juga percaya suspek menjadikan negara ini transit untuk mendapat bekalan dadah dan siasatan terperinci masih dilakukan untuk mengesan rangkaian sindiket ini,” katanya.

Shamsul Amar berkata, hasil ujian air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine tetapi lelaki itu tidak memiliki sebarang rekod jenayah.

Beliau berkata, suspek memiliki dokumen perjalanan sah dan ketika ditahan, dia sudah enam hari berada di negara ini dan berkemungkinan sedang bersiap untuk pulang ke Indonesia.

“Suspek direman hingga 30 April ini bagi membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” katanya – Berita harian