SERI ISKANDAR: Polis menahan lapan lelaki berusia 20 hingga 50 tahun termasuk seorang penjawat awam kerana memiliki dadah dalam Operasi Bersepadu Ketua Polis Daerah Perak Tengah dalam membanteras kegiatan dadah di daerah berkenaan.

Operasi yang bermula jam 2 pagi hingga 11 malam semalam itu dijalankan anggota dari beberapa bahagian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di beberapa lokasi di daerah itu antaranya Seri Iskandar, Jejawi dan Kampung Gajah.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Mohamad Zainal Abdullah berkata, kesemua lelaki berkenaan termasuk seorang penjawat awam berusia lingkungan 40-an itu ditahan di beberapa lokasi berbeza kerana memiliki beberapa paket dadah.

Katanya, selain menahan kelapan-lapan suspek, polis turut merampas dadah antaranya dadah dipercayai jenis heroin dan syabu.

“Siasatan dijalankan mengikut beberapa seksyen antaranya Seksyen 39 (A)(1), 12 (2), 15(1)(a) dan 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Ada diantara suspek yang ditahan turut mempunyai rekod jenayah lampau membabitkan dadah,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Mohamad Zainal berkata, polis akan terus menggempur serta membanteras kegiatan dadah dan tidak akan membenarkan kegiatan itu berleluasa di daerah ini. –┬áMyMetro