IPOH: Dianggarkan 80 peratus buangan barangan elektrik dan elektronik isi rumah di negara ini tidak dilupuskan dengan sempurna.

Di Perak misalnya, hampir satu juta telefon bimbit dilupuskan setiap tahun dan dijangka terus meningkat selaras dengan perkembangan teknologi.

Prihatin dengan bahaya yang mungkin terhasil daripada buangan yang tidak sempurna, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Perak menganjurkan kempen E-Waste mulai hari ini hingga 13 November hadapan.

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata,
antara logam berat yang biasanya terkandung di dalam barangan elektrik dan elektronik ialah timah dan plumbam yang boleh mendatangkan bahaya jika tidak diuruskan dengan baik.

“Kalau buangan elektrik dan elektronik ini tidak diuruskan dengan cara yang sewajarnya, ini satu lagi masalah alam sekitar.

“Ini juga merupakan ancaman kepada kita sebab barang-barang elektrik ini mengandungi logam-logam berat yang boleh mendatangkan masalah kepada kesihatan sekiranya tidak diurus dengan sempurna,” katanya
ketika melancarkan kempen pengumpulan E-Waste peringkat negeri Perak di Bangunan Seri Kinta di sini, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan isi rumah mengambil jalan mudah dengan membuangnya bersama-sama sisa pepejal lain yang memberi kesan buruk kepada alam sekitar dalam masa panjang.

Mengenai kempen pelupusan E-Waste, Rosli berkata, individu yang menghantar buangan itu akan menerima token di samping berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah.

Di samping menghantar buangan di pusat kutipan di tingkat bawah Bangunan Seri Kinta, orang ramai juga boleh menghubungi syarikat yang dilesenkan melalui nombor telefon 05-3654388 atau 019-5122121 (Edward), 019-4121227 (Edberg) dan 05-3650588 (Shima).

“Sekiranya barangan buangan itu besar, syarikat yang dilesenkan bersedia untuk pergi ke rumah-rumah untuk mengambil barangan berkenaan tanpa sebarang bayaran, malah mereka akan memberi token kepada pemilik barangan itu,” ujarnya.