IPOH: Mereka bukan sahaja diraikan dalam majlis berbuka puasa bahkan diberikan koleksi pakaian hari raya yang direka dan dijahit sendiri oleh pelajar dari GIATMARA Malaysia bersama Kolej Vokasional.

Wajah kegembiraan jelas terpancar buat 89 orang penerima baju raya dari Rumah Anak-Anak Yatim Bait Al-Amin, Parit, Pertubuhan Kebajikan Rumah Orang-Orang Tua Islam Titian Abadi (PEKITA), Lahat dan Pusat Autisme.

Pengarah IM4U fm, Kartini Ariffin berkata penganjuran IM4U fm Fabrik Kasih Sayang bersama Sunway 2017 merupakan hasil usaha dari pelbagai pihak.

“Sepanjang tempoh tiga bulan di tiga buah negeri iaitu Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang, 119 pelajar rekaan fesyen GIATMARA dan Kolej Vokasional bersama pereka fesyen mendapatkan kata sepakat untuk rekaan pakaian.

“Ia menggabungkan elemen pendidikan dan usaha untuk menyumbang semula kepada masyarakat, diharapkan kesinambungan program ini dapat diperluaskan ke negeri lain,” kata Kartini ketika di Majlis Berbuka Puasa di Lost World of Tambun, Ipoh.

Program ini turut menampilkan tiga pereka fesyen tempatan seperti Tengku Syahmi, Zakwan Anuar dan Fuzana Mokhtaza yang berperanan sebagai mentor kepada para pelajar tersebut.

Tidak ketinggalan PKNS Real Estate Company (PREC) turut menyumbang dari sudut tajaan fabrik dan aksesori pakaian.

Dalam pada itu, majlis turut dimeriahkan dengan pertunjukan fesyen bertemakan 60an yang digayakan sendiri oleh para penerima dari pusat kebajikan masing-masing disusuli dengan penyerahan pakaian serta sumbangan duit raya.