MIRI: Hanya sisa kayu dan debu. Itu keadaan deretan sembilan bangunan kedai yang musnah dalam kebakaran di Pasar Beluru Bakong, di sini, 12.30 tengah malam tadi.

Dalam kejadian itu, deretan kedai berusia lebih 20 tahun itu musnah sepenuhnya namun kebakaran tidak membabitkan mangsa kerana mereka sempat menyelamatkan diri.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Zon Miri Law Poh Kiong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 12.52 tengah malam berhubung kejadian itu sebelum sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Lopeng bergegas ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi, api sedang marak memusnahkan deretan kedai berkenaan memandangkan sebahagian besar struktur premis dibina menggunakan kayu.

“Pasukan bomba kemudian terus membuat operasi memadam selain memastikan tiada mangsa yang terbabit. Kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya jam 3.50 pagi.

“Kebakaran cepat merebak berikutan struktur rumah kedai berkenaan diperbuat daripada kayu selain faktor angin,” katanya.

Tambahnya, kejadian itu mengakibatkan semua harta benda milik peniaga musnah sama sekali namun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pasukan forensik kebakaran – berita harian