IPOH: Sejumlah 92 sampel ujian makmal COVID-19 telah berjaya diambil daripada kontak rapat dua penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim yang disahkan positif COVID-19, sehingga jam 8 pagi ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Perak, Datuk Dr Ding Lay Ming berkata, mereka terdiri daripada rakan pelajar, pihak pengurusan dan kakitangan UPSI.

Menurutnya, buat masa ini, sebanyak lima sampel telah didapati negatif COVID-19 manakala keputusan ujian bagi sampel yang selebihnya masih
belum diperolehi.

“Ini adalah merupakan sebahagian dari prosedur standard pengendalian wabak jangkitan COVID-19 yang dilaksanakan di lapangan, khususnya oleh pihak Pejabat Kesihatan Daerah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Muallim mengesahkan terdapat pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di daerah itu positif COVID-19 selepas menjalani saringan menerusi Ops Hantar Pelajar.

Menjelaskan lanjut, Ding berkata, pada 11 Mei, PKD Muallim telah menerima notifikasi daripada Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak berkaitan 2 kes positif COVID-19 di kalangan pelajar UPSI yang telah dihantar pulang ke Sabah dalam Operasi Penghantaran Pulang Pelajar IPT.

Menurutnya, kedua-dua pelajar tersebut telah dihantar pulang pada 6 Mei dan telah disaring pada hari yang sama. Mereka seterusnya didapati positif pada 11 Mei oleh pihak JKN Sabah.

“Berikutan daripada notifikasi kes tersebut, pihak PKD Muallim telah menghubungi pihak pengurusan UPSI untuk menjalankan aktiviti penyiasatan kes dan saringan kontak rapat kes positif bagi menentukan punca jangkitan dan tahap penularan jangkitan dalam kalangan warga UPSI,” ujarnya.