IPOH, 29 DIS – Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak berjaya menyelesaikan 685 atau 93.3 peratus aduan jalan berlubang di Jalan Persekutuan dan Negeri di seluruh negeri itu.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, JKR menerima 705 aduan sejak Januari lalu dan baki 20 aduan masih dalam tindakan.

Menurutnya, Daerah Kinta menerima aduan tertinggi apabila mencatatkan 339 kes diikuti Larut dan Matang (97), Manjung (73), Batang Padang (39), Hilir Perak (36), Kuala Kangsar (28), Hulu Perak (27), Kerian (21), Kampar (15), Muallim dan Perak Tengah (14) dan Selama menerima dua aduan.

“Kesemua aduan berjaya diselesaikan kecuali daerah Kinta apabila 18 aduan kerosakan jalan masih dalam tindakan dan masing-masing satu aduan di Kuala Kangsar dan Kampar,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Mahasiswa Terkesan Covid-19 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Saarani turut menasihatkan supaya individu atau pihak tertentu untuk tidak mengambil tindakan sendiri dengan membaiki jalan berlubang tanpa mengikut spesifikasi.

“Sepatutnya tidak berlaku sebab semua pembinaan ada spesifikasinya tersendiri.

“Jangan ambil tindakan sendiri apabila tidak mengikut spesifikasi, kerosakan sikit boleh jadi besar dan merbahaya kepada pengguna jalan raya,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin cedera akibat terlanggar lubang ketika menunggang basikal pada Ahad.

Pada majlis itu, Saarani berkata, seramai 1,200 mahasiswa layak menerima bantuan sekali bayar RM150 bagi meringankan beban pelajar dalam kalangan keluarga B40.

“Seramai 7,613 pelajar telah mendaftar dan hanya 1,200 mahasiswa layak menerima bantuan melibatkan 551 mahasiswa untuk fasa pertama yang mana pembayaran mula disalurkan pada 18 Disember lalu.

“649 mahasiswa lagi untuk fasa kedua akan disalurkan pada Januari depan menerusi transaksi dalam talian,” ujarnya.