KUALA LUMPUR : Mendiang bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng yang meninggal dunia pada 2013 akhirnya dapat “kembali ke rumah” pada 16 September tahun ini selepas enam tahun kematiannya.

Menurut kumpulan pengurusan abu mayat Chin Peng, atau nama sebenarnya Ong Boon Hua dibawa pulang oleh mereka dari Thailand ke Malaysia dua bulan lalu dan ditabur ke laut dan gunung di tanah kelahirannya.

Portal Malaysiakini yang memetik Penyelaras kumpulan berkenaan, Chan Kan Fook, 81, sebagai berkata, pihaknya telah menganjurkan majlis peringatan sebaik sahaja abu mayat itu tiba di Ipoh.

Menurut Chai, separuh daripada abu Chin Peng ditaburkan di laut berhampiran Lumut di Perak dan sebahagian lagi di kawasan hutan banjaran Titiwangsa, tanpa sebarang tugu atau jirat.

Mayat Chin Peng, sama sekali tidak dibenarkan dibawa balik ke Malaysia semasa kerajaan Barisan Nasional.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi semasa menjadi Menteri Dalam Negeri berkata, Chin Peng telah menyebabkan ramai polis atau tentera yang gugur.

“Kalau Chin Peng seorang yang mahu dihormati, bagaimana dengan saudara mara dan anak beranak kepada polis dan tentera yang telah dibunuh oleh pengganas komunis akibat individu itu.

“Saya tidak emosi dalam perkara ini, tapi berapa ramai yang mati berbanding mahu menghormati yang seorang ini (Chin Peng),” katanya Ahmad Zahid.

Sebelum ini, Pengerusi Setiakawan Malaysia Abad ke-21 pernah mendesak agar kerajaan membenarkan mayat atau abu mayat Chin Peng dibawa balik ke Malaysia.

Alasan Tee ialah kerajaan perlu menghormati Perjanjian Perdamaian Hatyai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989 bersama PKM dan kerajaan Thailand dengan salah satu syarat perjanjian adalah ahli PKM dibenarkan kembali ke negara ini jika mereka mahu berbuat demikian. – MalaysiaGazette