IPOH: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkah bahawa masih terdapat percubaan untuk melaga-lagakan beliau dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, berbagai cara digunakan untuk tujuan itu, termasuk menerusi media.

Menurutnya, yang terbaharu, kononnya beliau tidak sependapat dengan Tun Mahathir dalam isu LGBT.

Katanya, Perdana Menteri dikatakan tidak setuju dengan LGBT tetapi beliau pula mahukan Malaysia mengkaji semula undang-undang sodomi atau liwat.

“Saya dengan Tun Mahathir dalam soal ini sama, kita adalah masyarakat Malaysia yang faham agama dan kita tidak setuju dengan perkahwinan sejenis.

“Perkahwinan ialah antara lelaki dan perempuan, itu fahaman kita dan fahaman agama kita, Hindu, Buddha, Kristian, semua macam itu.

“Tetapi bezanya bila saya sebut undang-undang sodomi yang ada ini, ada undang-undang yang dibawa oleh Inggeris ke India zaman penjajah dan Malaysia, pada masa tu Malaya ambil undang-undang itu bawa ke sini. Bagi saya undang2 itu tidak adil, harus dikaji semula,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Amanat Perdana bersama kepimpinan PKR Perak di Auditorium RTM, di sini, pada Sabtu.

Mengakui sudah lama berkawan dan pernah bergaduh besar, Anwar berkata, kini mereka berpakat untuk bersama-sama menyelamatkan Malaysia daripada kerosakan yang dilakukan pemimpin terdahulu.

Dalam pada itu, beliau memberi jaminan, walaupun akan mempertahankan kepentingan Melayu, Islam dan bahasa Melayu, beliau akan tetap memberi keadilan kepada kaum, agama dan bahasa lain di negara ini.