IPOH – Beberapa lagi sekolah di Perak dijangka ditutup berikutan peningkatan kes positif koronavirus (Covid-19) serta penambahan kluster baharu dalam kalangan murid sekolah.

Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak, Razman Zakaria berkata, ketika ini terdapat dua ke tiga sekolah yang dalam peringkat pertimbangan untuk ditutup.

“Isu penutupan sekolah ini kita tidak boleh nak jangka. Sekiranya ada unsur-unsur wabak atau kontak rapat, maka sekolah itu diberi kuasa untuk tutup.

“Cuma kita tidak boleh uar-uarkan secara terbuka kerana takut akan mencetuskan panik kepada masyarakat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program My Healthy Garden dan #mysalamperak anjuran Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di sini semalam.

Setakat ini, sebanyak 11 sekolah di Perak sudah ditutup selama tujuh hari akibat penularan kes jangkitan wabak Covid-19 dalam kalangan murid dan guru.

Razman menerima pokok bunga sebagai simbolik perasmian program My Healthy Garden dan #mysalamperak di Ipoh hari ini.

Sekolah terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) King Edward VII, SMK (P) Treacher Methodist, SMK Bukit Jana, Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Jana, SK Convent Kota dan SK Ulu Mengkuang dalam daerah Larut Matang Selama.

Turut ditutup ialah SK Lekir di Batu 8 dekat Sitiawan, SMK Aminuddin Baki dan SK Klebang Jaya masing-masing di Chemor, Ipoh serta SK Tanah Kebun di Parit Buntar.

Terbaharu, SMK Raja Lope Nor Rashid di Tanjung Piandang, Kerian ditutup selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 26 Oktober depan.

Mengulas lanjut, Razman berkata, setiap sekolah terlibat diberi kelulusan untuk melanjutkan tempoh penutupan dari tujuh ke 14 hari sekiranya masih mempunyai potensi kepada penularan wabak.

“Kalau ikutkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), tempoh sekolah ditutup adalah tujuh hari sahaja dan sekiranya negatif ia perlu dibuka.

“Namun, sekiranya ada potensi lagi ke arah itu (positif), maka boleh disambung lagi seperti yang berlaku di SK Lekir di Sitiawan yang dilanjutkan tujuh hari lagi sehingga 26 Oktober depan,” katanya.