Teluk Intan: Sebuah kopitiam serta kedai kek dan roti terbesar di sini, diserbu pihak berkuasa semalam selepas didapati menggunakan logo halal tanpa kebenaran.

Serbuan dilakukan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Teluk Intan bersama Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) berdasarkan maklumat awam.

KPDNHEP dalam kenyataan berkata, pemeriksaan dilakukan lima anggota penguat kuasa dan tujuh pegawai JAIPk.

“Dalam serbuan pertama di sebuah kopitiam mendapati premis itu menggunakan logo Halal Malaysia, namun semakan awal mendapati tiada permohonan sijil halal dari premis berkenaan.

“Penyelia premis berkenaan iaitu wanita berusia 41 tahun memaklumkan kopitiam itu beroperasi Januari lalu,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan di premis kedua yang menjual kek dan roti mendapati sijil halal yang dimiliki sudah tamat tempoh.

“Pihak JAIPk memaklumkan terdapat beberapa bahan dan tempat pembuatan kek yang tidak diisytihar serta diragui status halal bahan itu,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, KPDNHEP menyita beberapa dokumen, barangan dan logo halal di kedua-dua premis berkenaan.

Katanya, pihaknya memandang serius terhadap premis perniagaan yang menggunakan perakuan dan penandaan halal ke atas produk makanan atau menggunakan apa-apa ungkapan halal di premis perniagaan mereka tanpa diperakui sebagai halal oleh pihak berkuasa berwibawa.

“Sekiranya tiada ia menjadi satu kesalahan dan melanggar undang-undang mengikut Akta Perihal Dagangan 2011,” katanya.