KUALA KURAU – Ada pihak kemaruk jadi Exco Perak, itu jawapan Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak, Abdul Yunus Jamhari yang berdepan dakwaan pecah amanah.

Abdul Yunus berkata, beliau percaya laporan polis oleh seorang ahli Majlis Daerah Kerian (MDK), Beh Yong Kean dengan dakwaan beliau membocorkan kertas minit Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) untuk mendapatkan habuan daripada dua syarikat pertanian sengaja dibuat untuk menjatuhkannya.

Menurutnya, pihaknya juga tidak menolak kemungkinan tindakan itu didorong dengan kewujudan kem-kem tertentu di dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) sehingga mereka akhirnya dipergunakan untuk mereka-reka cerita palsu bagi menjatuhkan dirinya.

“Kalau tiada angin, masakan pokok bergoyang. Kemelut melanda saya timbul ada sebab dan tidak akan berlaku kebetulan.

“Mengenai desakan saya bercuti daripada jawatan Exco, saya mengambil pendirian berasaskan prinsip ‘Rule Of Law’ bahawa seseorang tidak bersalah sehingga dia dibuktikan bersalah dan tiada masalah untuk saya meneruskan tugasan baik sebagai Exco atau ahli pimpinan parti,” katanya kepada media pada majlis penyampaian Skim Perlindungan Takaful Tabarruk peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kurau di sini hari ini.

Abdul Yunus yang juga Ketua PKR Cabang Parit Buntar berkata, dakwaan dan lapor polis ke atas dirinya sama sekali tidak menjejaskan fokus sebagai Exco Kerajaan Negeri Perak, sebaliknya menjadikan dirinya lebih matang, berpengalaman dan kuat dalam meneruskan perkhidmatan kepada rakyat.

Menurutnya, rentetan kes membabitkannya menjadi tular, pihaknya mendedahkan bukan sahaja pemimpin PH sahaja tidak putus-putus menghantar kiriman mesej berbentuk sokongan kepada dirinya, bahkan pemimpin-pemimpin daripada UMNO dan Pas.

“Mengenai pandangan Menteri Besar Perak dalam isu melanda saya, kami ada berjumpa dan bersembang biasa mengenainya. Lagipun kalau ikut kenyataan beliau sebelum ini, semua Exco Perak akan dikekalkan jadi saya fikir tiada isu,” katanya.

Mengulas dakwaan dirinya dikaitkan dengan kemelut dalaman parti, Abdul Yunus menggesa PKR kembali kepada landasan asal dan memperjuangkan agenda rakyat sejak 20 tahun lalu.

“Kita kena hentikan politik murahan dan kotor kerana rakyat semakin meluat dan menyampah dengan gelagat politik kotor hari ini,” katanya.

 

-SINARHARIAN