IPOH : Situasi politik di Perak belum mencapai tanda noktah dan keadaannya banyak bergantung kepada satu orang iaitu Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Persoalan sekarang adalah sama ada UMNO dan Pas akan bergabung dengan Bersatu untuk membentuk kerajaan, atau dua parti itu melepaskan Bersatu dan membentuk pentadbiran Perak yang baharu melalui sokongan daripada segelintir wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) yang berpaling.

PH pada masa ini mempunyai 31 kerusi berbanding UMNO-Pas yang memiliki 28 kerusi. Kerajaan PH di Perak akan tumbang jika dua wakil rakyatnya bertukar haluan.

Sinchew Daily melaporkan, wakil rakyat PH yang ingin bertukar kem kini menunggu petanda daripada Ahmad Faizal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderiang.

“Jika Ahmad Faizal membawa Bersatu membentuk kerajaan dengan UMNO dan Pas, maka ADUN PH akan mempunyai alasan kukuh untuk bertukar haluan dengan alasan mahu kekal dalam kerajaan negeri demi kepentingan pengundi.

“Jika mereka lompat ke pangkuan UMNO dan Pas sebelum Ahmad Faizal mengumumkan keputusan, wakil rakyat yang lompat pasti akan dilihat sebagai penderhaka dan sukar berdepan pengundi. Keadaan mereka akan seperti Dr. Chong Fat Full yang bertukar dari PKR Johor ke kerajaan Perikatan Nasional.”

Menurut Sinchew Daily, segenlitir ADUN PH mengaku menerima tawaran daripada Kem bertentangan. Sebahagian daripada mereka bertegas tidak akan lompat, sementara ada juga yang memberi kenyataan “kabur” seakan-akan belum mempunyai keputusan muktamad.

Keadaan Ahmad Faizal yang belum mengumumkan hala tujunya juga menyebabkan apa-apa pun rancangan ADUN berkenaan tersekat.

Sementara itu, seorang lagi orang politik yang belum mempunyai hala tuju yang jelas ialah Ahli Parlimen Ranau dari Sabah, Jonathan Yasin.

Jonathan sebelum ini dilaporkan meninggalkan PKR sebelum berpusing dan mengumumkan beliau masih bersama parti komponen PH tersebut.

Sinchew Daily melaporkan, Jonathan sehingga kini belum menyatakan pendirian terkini, tidak menjawab pertanyaan media dan tidak menyertai program PKR Sabah.

Jonathan juga tidak menghadiri satu mesyuarat yang diadakan oleh parti-parti pemerintah Sabah pada 5 Mac.

Ketua PKR Sabah, Datuk Christina Liew berkata, Jonathan berada di Ranau, tetapi tidak menjelaskan sebab Ahli Parlimen itu tidak menghadiri mesyuarat.