TANJUNG MALIM: Mohd Zaidi Aziz yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim semalam mahu memastikan semua isu dibangkitkan rakyat dalam tempoh kempen yang lalu, dapat diselesaikan.

Beliau berkata, sepanjang 14 hari kempen, terdapat banyak isu dibangkitkan rakyat termasuklah masalah banjir dan kemudahan infrastruktur yang mana sebahagiannya boleh diambil tindakan dengan segera.

Menurutnya, beliau akan meneliti semula catatan yang dibuat sepanjang kempen di mana ada beberapa perkara boleh diselesaikan segera.

“Mana yang mana perlu perancangan, kita akan bawa ke peringkat atasan.

“Kita akan lihat semua perkara-perkara itu dan beri tumpuan kepada keutamaan untuk diselesaikan kerana ada sesetengah isu seperti banjir sudahpun diambil tindakan oleh majlis daerah dan jabatan terlibat,” katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan ke Pasar Awam Slim River di sini hari ini.

Ia adalah lawatan pertama beliau ke tempat umum selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim yang baharu.

Mohd Zaidi berhasrat untuk menyantuni masyarakat dengan mengadakan kunjungan ke sekitar pekan dan kawasan kampung sebagai tanda terima kasih atas kepercayaan yang diberikan.

“Pagi ini saya solat subuh di Masjid Slim Village dan bersarapan dengan jemaah di kedai di sana, kemudian saya ke pasar awam bertemu peniaga sambil membeli sedikit keperluan rumah.

“InsyaAllah pada tengah hari saya akan ke Besout 2 untuk jemputan majlis perkahwinan di sana dan selepas itu saya nak ronda ke kedai-kedai untuk ucap terima kasih sebagai tanda penghargaan turun mengundi semalam,” ujarnya.

Ia adalah lawatan pertama beliau ke tempat umum selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim yang baharu.

Semalam, Mohd Zaidi yang mewakili Barisan Nasional berjaya mengekalkan kerusi DUN Slim apabila calonnya, dengan memperoleh 13,060 undi, menewaskan dua calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi dan S.Shantarasekaran.

Amir Khusyairi yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) memperolehi 2,115 undi.

S.Shantarasekaran pula hanya memperolehi 276 undi, sekali gus hilang wang deposit.